Sunday, November 1, 2009

ALPA SEORANG WANITA.....

Kalau Tsunami Kasih saya membicarakan soal lelaki yang berpaling arah setelah membina mahligai cinta lebih daripada 20 tahun...tidak adil kalau saya tidak mengupas diri wanita,kelemahan dan kelebihan mereka. Mungkin persepsi kepada lelaki selalunya negatif..tidak kurang juga kita dikejutkan dengan sikap wanita yang kadangkala mengundang ketidakbahagiaan dalam rumah tangga.
Ketika bersarapan pagi semasa berkursus di Hotel R......Kota Bharu,seorang guru lelaki membuka cerita. Kami berkursus 3 hari 2 malam. Katanya..."malam tadi cikgu tu...lepas kita habis slot kul 11 mlm...bini dia call suruh balik. Dia tak bagi cikgu tu tidur hotel...malam2 buta tu dia redahlah balik ke B...t. Pagi2 esok slot ada kul 8". "Selalu ke macam tu...bini dia sayang kot",saya mencelah. Jawab guru yang bercerita"dah selalu macam tu....kalau gi kursus mana2 bini dia sibuk,col dan suruh balik....kesian sungguh.Sayang apa lagu tu...bini control tu...".
Kami guru2 perempuan diam. Kata Dyza.."kalau saya tak suruh suami balik malam2 cam tu...kalau apa2 jadi tak ke menyesal...". Saya mencelah...."kadang2 silap lelaki juga. Di awal perkahwinan tak berkeras dengan bini.Ikut je...perempuan ni kak zie akui kalau orang terlebih cakna,sayang dan buat manja,mulalah mua. Kak zie akui tu,walaupu kak zie perempuan".

Seorang guru lelaki paling muda dalam kalangan kamiberkata"saya setuju kata kak zie tu...macam saya....mula2 kawin dulu saya buat sendiri semua....senduk nasi sendiri,ambik air minum pas tu basuh pinggan sendiri....last2 sampai sekarang,8 tahun kawin bini saya tak pernah sendukkan nasi....apa nak buat,saya pun dah tak terkata...". Haaah....ambik engkau,mahu terbeliak biji mata kita.

Kadang-kadang benda2 macam itulah yang kita terlepas pandang. Suami buat sendiri...kita ingat dia nak tolong kita walhal dia nak test kita..harap2 bini kata "tak payah bang,biar sayang buat,biar baby buat,biar kita,buat biar amba buat...whatever.....".Bagi kita benda2 remeh macam tu,sekadar sendukkan nasi,gosok baju atau buatkan air apalah sangat.Tapi tidak begitu pada orang lelaki. Di luar bukan main kita bersolek,wangi dan bergaya tetapi bila di rumah...serabai(bukan serabai ebriza yang cecah kuah tu...hehehe)..
Kesimpulannya....kita jangan take for granted.....hidup berumah tangga ni macam2 ujiannya.Kita ikut rentak suami. Kalau dia nak kita manjakan dia,kita manjakan.Kalau nampak dia duk kerling gadis2 tepi jalan yang bergaya.....kita balik buat di rumah. Bergaya macam yang dia suka...hehehe..tak rugi pun kalau kita cantik depan suami...betul tak ?
Macam ceramah kaunselor masa saya berkursus perundangan syariah tu...seorang suami tak pernah minum air yang isterinya buatkan sampai jadi konflik. Bila hadir sesi kaunseling rupa-rupanya suami tak minum air milo dan si isteri pulak tak bertanya apa jenis air yang suami mahu terus je buat milo.......hehehe...boleh percaya ke ? Marilah puan-puan kita cuba perbetulkan kealpaan kita biar sang suami tiada komplen.....kalau dia cari lain jugak....biar sampai orang kata...apalah punya suami...bini macam tu punya hebat cari yang hampehhh!!!!!

ALPA SEORANG WANITA.....

Saturday, October 24, 2009

TSUNAMI KASIH......

Sebenarnya sudah lama saya mahu paparkan kisah ini tetapi kekangan masa yg begitu cemburu menjadikan hasrat itu tidak kesampaian. Sebenarnya kisah ini sudah terlalu klise dalam kehidupan kita akhir-akhir ini tetapi entahlah...apabila ia berlaku terlalu hampir dengan kita membuatkan saya terpanggil untuk menuliskannya jua...Saya namakan ia sebagai tsunami kasih kerana ia berlaku secara tiba-tiba,biar pun cuaca tenang,nyaman dan damai. Tak kira berapa skala ritchernya apabila berlaku ia tetap mengubah keadaan. Keadaan yang sukar untuk kembali ke asalnya.
Apabila bapa saudara saya bercinta dan mengakhirinya dengan perkahwinan,saya dapat melihat wajah ibu saudara saya yang cengkung dan pudar. Ia berlaku setelah anak2 dewasa. Ekonomi udah makin teguh.Di saat usia sudah menghampiri ke angka 5..an . Kalaulah kerana ibu saudara saya gemuk,berkulit gelap mengapa 23 tahun dulu bapa saudara saya memilihnya sebagai isteri ?Bahkan tok wan saya pernah menasihatinya fikir dulu kerana si perempuan berpotensi utk gemuk takut menyesal.Tapi kata bapa saudara bukan itukeutamaannya...
Ketika balik beraya di kampung arwah syawal yg lalu...saya dikejutkan dengan cerita teman sepermainan yg telah berkahwin dengan sepupu saya juga berura-ura untuk kahwin lain.Si lelaki berusia 49 manakala sepupu perempuan saya 45.JUga perkahwinan mereka berusia 25 tahun. Sepupu saya menangis di bahu adk saya Anita...paling sayu apabila dia berkata...aku orang hodoh..orang dah tak mboh kat aku....walhal ketika di awal perkahwinan sepupu saya bertungkus-lumus berniaga membantu suaminya kerana tika itu gaji suaminya kecil.Janda beranank dua yg digilai suaminya pun bukan main sedap bercakap. Apabila sepupu saya merayu dan memohon simpatinya dengan angkuhnya dia menjawab"saya tetap akan kahwin. Kami dah bercinta setahun. Susah payah awak selama ini tak de kena mengena dengan saya,itu kisah awak,saya nak kisah saya berakhir dengan bahagia". Aduhhhh.....kalau belati itu tajam rasa saya kata-kata perempuan itu lebih bisa dan menikam sukma...!
Apabila bertemu kawan-kawan lama banyak juga saya mendengar rumah tangga yang dilanda tsunami....iaitu rumahtangga yang telah berusia 20 tahun ke atas....mengapa ????
Apakah tiada lagi simpati dan kasih....sudah lupakah padapengorbanan yang bersulamkan air mata,keluh kesah ,rawan hiba untuk mencapai ke tahap 20 tahun ke atas. Ketika berjumpa kakak angkat saya tiga tahun lalu saya juga terkejut apabila diberitahu suaminya sudah berkahwin lain. Janda muda tanpa anak.Bahkan mereka sudah dapat seorang anak pun.Apabila saya ingat semula...kisah cinta kakak angkat saya itu dulu persis menonton sebuah filem hindustan,,,penuh cabaran dan airmata...di awal perkahwinan tinggal srumah dengan mentua.Suaminya sambung belajar,wang ringgit dan air mata usah diceritakan...namun akhirnya tsunami kasih melanda juga ketika zaman puncak...setelah anak2 berjaya ke menara gading,setelah mahligai cinta terbina ratusan ribu....segala-galanya tidak bererti lagi....
22 oktober lalu saya menghadiri kursus Keluarga dan Perundangan Syariah di Kuala Terengganu.Banyak ilmu yang dapat dikutip.Rupa-rupanya kisah rumahtangga ini penuh liku-likunya danpelbagai variasi.....kadangkala saya terfikir..agaknya lelaki ini tidak suka kepada kedamaian,keharmonian dan kebahagiaan. Mereka suka mencari cabaran kerana hasilnya mereka yang dapat.Saya bukan anti poligami tetapi saya bencikan lelaki=lelaki yang berpoligami sedangkan mereka itu tidak mampu menyara keluarga pun....menadah wang ringgit isteri untuk isi minyak kereta,beli rokok atau keluar berjumpa kawan-kawan...nafkah jauh sekali....sepatah kata pendakwa syariah yang berceramah.....berpoligami bukan sunnah tetapi HARUS.Hanya manusia yang pandai mereka-reka mengatakan ia sebagai SUNNAH.....ya Allah,selamatkan rumahtanggaku,saudara maraku dan sahabat2ku daripada dilanda Tsunami Kasih......Aminnnn

Thursday, October 15, 2009

Dalam Pelarian 1

Di padang resah
seorang aku
bergalau sejuta pilu tak bertepi.....
Biarlah tangis itu tak bersuara
kukutip puing-puing luka berserakan
di kaki waktu....

Dalam pelarian ini,
kugalas luka seribu rindu
menerjah kerikil-kerikil tajam menusuk bisa
sakitnya hanya aku yang tahu....

Tuesday, September 8, 2009

Resepi masakan orang Terengganu.

Resepi-resepi di bawah ini khas untuk Secangkir Madu Merah_

Ikan Keli Gulai Berempah Daun Kesum
Bahan-bahannya:
sekilo ikan keli yang sederhana besarnya.
satu labu bwg besar merah
3 ulas bwg putih
stgh inci halia
stgh inci lengkuas
seikat daun kesum
stgh inci kunyit hidup
setengah peket rempah ikan ADABI
2 sudu besar kerisik (org teganu pnggil nyiur gula)
3 sudu besar cili boh

Cara Memasak:
Ikan keli bersihkan dan diperap ngan asam jawa atau garam utk hilangkan hanyir.
Tumiskan bwg besar,bwg putih,halia,kunyit,lengkuas hingga naik bau.
Masukkan ciliboh,rempah,masukkan sedikit air,tumiskejap,masukkan kerisik dan air
asam jawa....biarkan kejap sampai pch mnyak.
Masukkan santan...kacau sampai menggelegak,masukkan ikan keli dan daun kesum.
Bila gulai dah agak pekat,warna dah merah tutup api.

ACAR PERUT LEMBU UBI SENGKUANG

perut lembu setengah kilo
sebelah ubi sengkuang
cuka(agak2lah)
cili boh,belacan,gula dan garam
CARA MEMBUATNYA:
Rebus perut lembu sampai empuk
ubi sengkuang diricih halus2 jgn halus sangat sampai tak nampak...hehehe
bila perut dah empuk,potong kecil2(ikut suka)
masukkan dalam mangkuk bahan2 itu dan masukkan cuka,air,gula,belacan dn cili
boh. garam secukup rasa.gaul hingga sebati.Ia boleh juga dipanaskan kalau takut
basi.

p/s; Gulai tadi kan masukkan garam,gula atau serbuk perasa ikut cita rasa...hehehe x boleh buat buku resepi ni...lupaaa je... OK kawan-kawan...cubalah di dapur anda...SEDAPPPP....

Friday, September 4, 2009

Aku Makin Tua....

Ahamdulillah...jika diizinkan Allah,pada 5 September aku akan menyambut hari lahir yang ke 47. Sungguh aku tidak sangka...diam tak diam.. sudah 47 tahun aku dipinjamkan Allah ke dunia yang fana ini.....penuh fatamorgana. Mungkin sesetengah orang tidak dapat menerima realiti bahawa usia makin tua. Betapa pun kita cuba menidakkan..ia tetap mendakap diri kita seluruhnya.
Jujur aku mengatakan bahawa,aku sendiri tidak sedar aku seusia itu...perasaan dan keinginan aku masih lagi seperti aku di usia muda dulu.....aku tetap rasa seperti orang muda kerana rutin hidupku tetap seperti dulu. Tidak ada apa yang kurang dan berubah. Cuma kurasa tahap penghayatan di atas sejadah lebih tenang dan damai.
Namun...apabila melihat anakanak sudah membesar..tahulah aku bahawa aku sudah beransur senja. Jika dulu aku yang memandikan mereka,memakaikan baju dan menyuapkan makan tetapi kini..setelah aku diapi oleh 3 cahaya mataku...ohhhh...mereka sudah tinggi lebih daripada ibunya...walhal rasanya baru semalam aku mendodoikan mereka.
Aku akui,banyak pahit manis yang telah aku lalui sepanjang perjalanan hidup ini. Pernah menangis dan rebah di kaki sengsara,pernah kehilangan cahaya mataku yang pertama,pernah menjalani dua pembedahan kerana sakit,pernah menjalani D & C kerana kandunganku mati tika usianya 4 bulan,pernah kemalangan tika aku sendiri memandu,pernah difitnah pesona yang amat menekan jiwa,tapi....aku pernah melahirkan 4 orang cahaya mata,aku pernah berjaya dalam karier,pernah berjayabersanding di pelamin cinta,pernah menjaga ayahku yang sakit,pernah berbakti kepada bapa mentuaku hingga ke nafas akhir dan aku juga pernah berjaya mempertahankan hak aku daripada dicerobohi orang lain.....
Selamat hari lahir Ziekiera...moga kau diberi Allah kekuatan untuk meneruskan kehidupan yang penuh misteri ini.....dan aku sentiasa ingat,,,,falsafah yang aku temui dalam sebuah buku semasa aku berusia 16 tahun. Katanya:
"Apabila engkau tidak dapat melihat kepada masa depanmu.kerana masa depanmu itu masih gelap,dan engkau tidak pula dapat menoleh kepada masamu yang telah tinggal di belakang kerana semuanya peristiwa yang pahit dan getir,maka cubalah angkat kepalamu ke atas,nanti engkau akan beroleh istirehat dan ketenangan..."
Terima kasih suamiku dan anak-anak tercinta.....semoga jalan bahagia terbentang luas di hadapan sehingga ke ujung nyawa....insyaallah. Aminn.......

Thursday, August 20, 2009

Kuharap Ramadan Kali Ini Lebih Bermakna.......

Alangkah pantas masa berlalu...diam tak diam setahun sudah masa menjengah hidup ini.Alangkah indah Ramadan...Ramadan al Mubarak....Seronoknya menyediakan juadah berbuka puasa,ke bazar ramadan mencari kuih-muih,bersama keluarga berbuka....keletah anak-anak yang menghiburkan tak kurang juga kadang kala naik angin dengan gelagat dia orang.....
Kepada rakan taulan kuucapkan selamat menyambut ramadan dan aku amat mengharapkan ramadan kali ini memberikan aku seribu kebahagiaan setelah tahun 2008 kulalui penuh duka nestapa. Setahun yang lalu...kusambut ramadan dengan airmata. Banyak cubaan dan dugaan yang melanda.Aku difitnah....oleh saudara sendiri sehingga hubunganku dengan ipar duai dan mentua dingin. 11.9.2008....setelah seminggu menyambut harijadi....aku dilanda musibah yang hampir meragut nyawaku.
5.9.tika menyambut harijadi,suamiku menghadiahkan sebuah telefon bimbit..terima kasih sayang. Tetapi kegembiraan itu hanya seketika....fitnah yang melanda dan ditambah pula dengan situasi kasih yang teruji,aku jadi tidak keruan. Hanya orang yang pernah merasai sakit difitnah saja yang tahu...hanya orang pernah merasa kasihnya teruji sahaja yang tahu betapa sakitnya jiwa,betapa hancurnya hati,betapa pilunya perasaan...nasi yg dimakan terasa pasir,air yang diminum terasa duri.....
11.9.2008.....setelah pulang dari majlis berbuka puasa....aku dan anak-anak pulang ke rumah. Hubby masih menunggu majlis selesai. Entah apa yang merasuk fikiran aku,pukul 9 malam aku tinggalkan anak-anak dan kelaur memandu sendirian. Tika itu aku rasa jiwaku kosong,hampa,kecewa dan marah.....Lebih kurang pukul 9.oo malam tika melintasi perkuburan...aku rasa pemandanganku gelap seketika....sedar-sedar...tubuhku terasa sakit dan ramai yg datang berkerumun. Aku dipapah keluar dari kereta. Seorang lelaki meminta telefon bimbit. Aku berada dalam keadaan di awang-awangan. Pipiku terasa pedih dan tanganku sebelah kanan sakit tak mampu diangkat. Rupa-rupanya keretaku melayang dan merempuh sebatang pohon mangga di bucu halaman rumah orang.Dan lelaki itu mungkin menelefon suamiku.
Mujurlah aku tidak apa-apa....kalau aku mati tentu anak-anakku menjadi anak yatim....tidak dapat kubayangkan anak-anakku yang bertiga itu hidup tanpa seorang ibu.....Oh Tuhanku syukur kerana aku selamat.Memang suamiku marah....katanya aku terlalu ikutkan perasaan yang didorong oleh syaitan....tapi taukah dia betapa merananya aku menghadapi situasi itu....Aku dibawa berurut dan ketika di rumah tukang urut aku bersua dengan Wan Hazrie yang kini menjadi suami Arni Nazira. Tika suamiku keluar ke tempat kemalangan tadi,Wan Hazrie banyak menasihati aku...patutlah Arni memilihnya sebagai suami...dia amat matang,berhemah dan beragama.
Teman....kini setahun telah berlalu....kasih yang teruji kian kental dan subur semula...bagai mawar yang sedang berkembangan di taman....tapi,hubunganku dengan keluarga sebelah sana masih dingin lantaran fitnah pesona.....tak mengapalah,aku yakin what goes around always comes around....kita tidak dapat memuaskan hati semuao orang..cuma aku sedih,hubungan selama 26 tahun yang penuh kemesraan punah dan hancur lantaran lidah yang tidak bertulang...dan kadang-kadang aku bertanya sendiri..semudah itukah orang mempercayai kata-kata yang diterima tanpa usul periksa....selama 26 tahun masih butakah mereka untuk menilai aku...???
Ramadan kali ini kupinta kebahagiaan hati.....aku tidak mahu menangis lagi. Sudah kering air mata...aku tidak mahu menjeruk rasa lagi....aku tetap akan teruskan hidup ini...aku mahu hidup seribu tahun lagi untuk anak-anak dan suamiku yang tercinta.....Aminnnn.

Friday, August 7, 2009

Pertemuan Syahdu...


Dari kiri : Kak Ziekiera,Dyza,Indah Hairani,Anita Aruszi & Fatin Nabila
Syahdunya sebuah pertemuan...setelah sekian lama berkenal mesra di arena blog.Terima kasih adik-adikku kerana sudi menyempurnakan harapan di hati ini bertemu.Terima kasih buat Indah Hairani kerana sudi menerima kami sebagai tetamu.Buat Anita dan Fatin,Kak Zie doakan yang terbaik buat kalian...untuk Dyza...keep the secret...hehe...

Thursday, July 23, 2009

Kenangan masa remaja

Semasa menuntut di SMPM kini SMKPM,saya memang aktif sama ada di padang mahu pun di pentas. Peristiwa ini berlaku semasa saya berumur 16 tahun...tingkatan 4 lee tu. Hari itu hari guru...saya mendeklamasikan sajak.Itu bukan perkara luar biasa.Ia seolah-olah macam satu tugas apabila ada hari istimewa di sekolah saya akan menyumbangkan sesuatu.
Tidak saya sangka rupa-rupanya ia membawa satu rentetan kisah lucu tapi pelik juga buat diri ini....tidak disangka-sangka rupa-rupanya ada yang begitu minat memerhati. Dia juga pelajar di tingkatan 4 tetapi aliran sains. Saya pula dalam aliran perdagangan. Di asrama putera dia memuji-muji kebolehan saya(kawan yg citer,,bukan perasaann hehe).Katanya suara saya sedap,penuh perasaan dan macam-macam lagilah. Kesempatan ini digunakan oleh rakan-rakannya untuk 'mengenakan' dia. Manakan tidak dia merupakan seorang yang pendiam,warak dan tak pernah bercakap pasal perempuan.
Walaupun sama-sama tinggal di asrama dan sama-sama tingkatan 4 saya tak pernah kenal dia. Hujung minggu itu kami dibenarkan pulang ke rumah. Aku gembira sangat kerana akumemang rindukan familyku.Hari Jumaat malam,arwah Baba(ayahku)mengajak kami ke Pesta Main Pantai di Batu Burok.Aku malas nak pergi.Jadi Baba,Umi dan 3 orang adik-adikku yang pergi. Jadi aku tinggalseorang saja di rumah. Lantas untuk hilangkan boring aku mengikut tok wan dan tok kiku ke masjid untuk solat maghrib. Selesai solat maghrib sementara menunggu waktu isyak aku duduk sebelah tok wanku yang belajar membetulkan bacaan. Tiba-tiba aku terdengar bilal masjid bertanya..."Rozi mana ? ni ada orang cari ni". Aku keluar dan melihat siapa yang datang mencari...terkejut beruk aku bila melihat seorang remajalelaki berkaca mata. Aduhh ganteng bangat,,,hehehe. Aku mendekatinya. "Awak siapa?",aku bertanya. Dia diam dan tunduk. "Kenapa awak nak jumpa saya?"dia pulakyang bertanya. "Jumpa awak ?....tak de pun,saya tak kenal pun awak",aku menjawab. Tokki aku mengajak dia naik ke masjid kerana solat isyak dah masuk waktu.
Tokki membawanya pulang ke rumah. Aku menghidangkan minuman. Tahulah aku bahawa dia sudah 'terkena".Kenapalah dia ni lurus bendul boleh percaya aku nak jumpa dia.
"Kenapa awak ni...kalau ya pun misalnya saya nak jumpa awak,kenapa sampai awak datang umah saya. Dahlah malam,jauh pulak tu...tentu saya cari awak di sekolah je..."aku membebel.Dia diam.Geram aku memikirkan 2 orang penyangak yang mempermaikan dia. Tapi yang bestnya dia tenang sambil meneguk air.Sesekali mata kami bertemu....handsome jugakmamat ni.wajahnya pulak bersih dan licin. Ehh...tergugat jugak hati aku ni...
Tak berapa lama kemudian Babaku pulang.Berdebar jugak aku.Babaku kalau pasal pak we tak ada kompromi.Aku bercerita pada babaku....babaku percaya kot. Ku biarkan 2 orang lelaki berbicara....babaku mengajak dia bermalam,Tapi dia menolak. Dalam kegelapan malam diam melangkah pergi....sepupu2 lelaki aku apa lagi...orang kampung memang pantang pasallelaki asing ni...aku berlari pulang memberitahu baba apabila dia dikerumuni.Babaku mengajak dia masuk ke kereta dan terus menghantarnya ke asrama.
Yang bestnya dia emuji aku di depan tokki...tak sangka zie rajin bersolat.Nampak rugged dan sosial(kalau aktif sikit itulah tanggapan orang terengganu...dulu2 lah).Babaku bnayak nasihatkan dia.....sekembali ke asrama heboh juga citer ni di asrama putera. kesian dia....aku date sekali dengan dia di perpustakaan. Anehnya dia banyak membisu. Kepada dua orang penyangak tu aku berleter jugak lee...peristiwa itu habis begitu sahaja...dua bulan kemudian aku dengar dia bertukar sekolah ke tempat ibu bapanya di Pahang......apa sebenarnya yang ada dalam fikiran dia ketika dia datang mencari aku.....malam,jauh dan tempat yang dia tak pernah datang...? Sepatah kata Baba mencuit naluriku......emm sebenarnya dia tu sukakan kamu tapi malu dan rasa rendah diri....ishk...ishk....kenapalah kau tak tackle aku....aku suka gak dengan ketampananmu itu...hehe..kenangan masabodo.....kalau hubby baca jangan rasa apa_apa ya....cuma kenangan bukan impian.....

Tuesday, July 7, 2009

Si Tanggang Moden

Kita baru sahaja selesai menyambut Hari Ibu dan juga Hari Bapa. Pelbagai cara yang dilakukan untuk meraikan hari yang berbahagia itu. Ada sesetengah orang tidak meluahkan dan mempamerkan namun dalam diam berdoa ke hadrat IIahi agar kedua-dua ibu bapa dalam kesejahteraan yang berpanjangan.
Saya agak tragedi ini berlaku dalam dua minggu lepas....di tempat saya bertugas bukan sesuatu yang pelik para ibu bapa menghantar ank masing-masing sehingga ke dalam kelas terutama murid-murid tahap satu. Kadangkala berbulu juga mata ni melihat anak-anak yang terlalu dimanjakan itu...maaf cakap,kadangkala anak-anak itu ramai yang berada di kelas tercorotatau yang kedua corot....Kisah yang ingin kupaparkan ini bukan untuk mengaibkan sesiapa sekadar menjadi renungan dan iktibar kita bersama sebagai ibu atau bapa...
Saya selalu nampak keluarga ini menghantar anaknya setiap pagi.Dengan merc yang menjalar...memang nampak hebat kerana yang menulis cerita ini hanya mampu pakai savvy 1.2 je...kadangkala saya nampak berhenti ikut suka je...tak kisah sama ada menghalang laluan atau tidak.Saya pernah terdengar ayah murid tersebut berleter kerana anaknya malas dan enggan masuk ke kelas.....neneknya pulak tukang pujuk...tika ayah mengangkat tangan hampir-hampir nak kena pipi cucunya si nenek cepat-cepat menarik tangan cucu dan membawanya ke tempat lain.Memang nampak muka si ayah marah sungguh tapi caranya nampak agak bongkak...
Suatu pagi yang tragis....malamnya hujan lebat sungguh jadi koridor ke kelas agak bertakung dengan air....si murid tetap macam selalu enggan ke kelas dan memaksa neneknya menemani..Aku rasa ayahnya memang dah lama hot kepada nenk murid itu yang merupakan ibu kandung kepada si ayah.Kebetulan kawanku M.....n mengajar di kelas itu. Di luar kelas kedengaran bising-bising....tak tau apa benda yang diperdebatkan....tapi paling mengejutkan apabila si ayah tiba-tiba menolak ibu kandungnya hingga jatuh tersembam dalam air yang bertakung di koridor....tak cukup dengan itu dipijaknya tubuh orang tua dengan maki hamun yang amat sukar diterima.......kata kawanku..muri-murid di kelasnya terdiam dan terkejut seperti dilanggar garuda melihat perlakuan seorang lelaki yang kukira lebih tua daripada aku terhadap ibu kandungnya sendiri....Ironinya daripada sumber yang aku dengar si anak hanya menumpang kesenangan ibunya yang merupakan usahawan berjaya di bandar ini.....
Aku faham...si ayah sukar menerima sikap nenek yang amat sayangkan cucu...terlalu manjakan cucu hingga jadi mua....tapi bukan begitu caranya untuk melepaskan rasa hati...di depan anak-anak kecil pulak tu....Dua hari selepas itu aku nampak nenek masih lagi menghantar cucunya tetapi tidaklagi menemaninya di kelas seperti biasa.....terkedu aku apabila menatap wajah ibu tua itu yang tenang.....seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.....aku menelan airmata melihat kehebatan hati seorang ibu.....dan hati ini amat menyampah melihat lelaki yang tak tahu malu itu...macamlah orang tak tau kereta yang dipandunya itu kereta siapa......

Wednesday, June 24, 2009

Pantun Hati.....

Buah pinang masaknya merah
dalam peti atas perahu,
Luka di tangan nampak berdarah
luka di hati tak siapa yang tahu.

Rakit ke kuala muatan celana,
Bukit petiti hala tujuan
Sakit kepala ada ubatnya,
Sakit hati apa gerangan.


Limau purut lebat di pangkal,
peram mari dalam istana,
Hujan ribut dapat kusangkal,
geram di hati apa caranya ?


Kalau kutahu peria pahit
takkan kumakan bersama cili
Kalau kutahu bercinta sakit,
takkan kusudi memberi hati.
Arwah tokki(atukku) sebelah ayah di Terengganu suka berpantun denganku masa aku kecil2 dulu. Sambil dia berpantun arwah menggobek sirihnya......

Pinang muda sedap dijeruk,
lepas setandan,setandan lagi,
Orang muda sedap dipeluk
lepas semalam,semalam lagi.


Bukit Jong Jalan Kelantan,
ambil buluh , buluh perindu
Ambil racun saya nak makan
tidak tahan menanggung rindu......

Tokki aku juga memberi aku serangkap pantun pengasih..hehehe...sambil menyapu bedak di muka baca pantun ni,,,(aku tak pernah buat pun)

Ribu-ribu di tepi jalan,
anak buaya megat tasik
Walau beribu orang di jalan
hanya aku dipandang cantik..............................

Thursday, June 18, 2009

Syukur Tuhanku.....

Semalam,17hb Jun kukira satu tarikh yang takkan kulupakan selagi hayat dikandung badan. Pagi,ketika akan bertolak ke sekolah,aku sebenarnya sudah tidak berapa sihat. Ingat nak ambil mc tapi mengenangkan sekolah baru saja dibuka,kubatalkan niatku itu. Sebenarnya,tika usia ku masuk ke era 40,penyakit senggugut yang kuderitai sejak anak dara datang semula. Jadi faham-faham sajalah,hari pertama dan kedua merupakan saat kritikal buatku. Kadang-kadang

terpaksa juga aku ambil mc apabila sudah tidak tertanggung lagi. Di sekolah,kucuba mengajar setakat yang mampu.Sebaik sahaja habis mengajar jam 9.15,aku segera masuk ke bilikku dan baring di sofa. Tidak berapa lama kemudian,dua orang kawan datang beserta guru besar. Setelah berbual beberapa ketika,mereka bertiga beredar. Aku tiba-tiba rasa lapar,patutlah jam hampir 10 pagi. Sebaik sahaja aku bangun dari sofa tiba-tiba....slurrrpp...ya Allah habis kain dan baju aku...Aku menelefon guru besar dan terpaksa minta pulang untuk bertukar pakaian.Guru besar aku memang baik hati,beliau membenarkan aku pulang. Di rumah sebenarnya anak dara aku Syakila dah masuk 2 hari tidak ke sekolah kerana demam.Dia dalam tingkatan empat.Sebaik sahaja keluar dari kereta,aku hairan melihat sepasang kasut lelaki,yang agak besar,berwarna hitam.Aku tambah terkejut apabila mendapati pintu rumah tidak berkunci. Syakila terkebil-kebil apabila melihat aku sampai.Rupa-rupanya dia sambung tidur di ruang tamu."Siapa yang datang umah kita,ayah Teh ke ?"Aku bertanya. Syakila kata tiada siapa-siapa.Aku membelek-belek kasut berjenama Road Master itu sambil mengacunya."Pelik tul Kila.Ini bukan kasut ayah ni,besar ni,kasut sape ya..",sambil aku mengangkat kasut itu dan meletakkannya di atas anak tangga.Kami berdua ke dapur.Aku berleter kerana Sykila terlupamengunci pintu setelah membukanya ketika ke ruang tamu.Aku menelefon suami tapi tidak berjawab.Aku menghantar mesej dan bertanyakan kasut tersebut.Suamiku segera menelefonku semula. Sambil berbual aku ke ruang tamu dan membuka pintu sambil menjenguk ke luar. Alangkah terkejutnya aku apabila mendapati sepasang kasut itu telah tiada.Suamiku yang akan ke Kerteh bersama RMnya berjanji akan singgah sekejap. Aku bagai nak gila....bermaknaketika aku sampai tadi dia masih berada di dalam rumah kami....aku memeriksa setiap bilik. Tiada apa yang berusik atau hilang.Suamiku sampai.Sebelum itu aku memanggil jiran kami,abang Din dan Kak Yah. Kedua-duanya tidak perasan sesiapapun yang hadir di kawasan perumahan kami. Perumahan kami agak unik.Kami hanya terdiri daripada 10 buah rumah sahaja yang berkembar dua dan disusun berbentuk ladam. Jadi ,apa-apa aktiviti yang berlaku kami mudah tahu.Oh Tuhan....kukira,semasa aku sampai dia baru saja masuk.Apabila menyedari aku bising-bising dia melompat keluar dari tingkap di dapur.Ketika aku dan Syakila ke dapur dia berpusing ke depan dan segara mengambil kasutnya semula...oh Tuhan..oh Tuhan..kalau aku tak balik ????Kalau dia acukan pisau ke leher Syakila dan seterusnya me......Syakila,ya Allah aku hampir pitam apabila memikirkannya.Ketika membayangkan kemungkinanitu kepada suamiku,akumenangis. Syakila kelihatan sedikit bingung dan termangu-mangu....Kata guru besarku,kasut itu biasanya dipakai oleh orang yang buat kerja-kerja kasar seperti buruh kontrak. Kebetulan ketika itu kawasan Bukit Losong memang ramai yang bekerja memesin rumput....entahlah...walau apapun,aku amat bersyukur..Allah mendorong aku pulang ke rumah tepat pada masanya.Hari ini aku demam.Berat rasa kepala. Aku cuba juga tuliskan ini ....untukmu seri,inilah kisah yang kak Zie kira suatu kebetulan yang amat bermakna daripada Iilahi...syukur padamu ya Allah.Harta hilang boleh diganti tetapi jika Syakila diapa-apakan kukira akulah ibu yang paling malang di dunia ini.....Alhamdulillah.

Wednesday, June 10, 2009

Kematian

Hati saya amat tersentuh tika membaca akhbar semalam apabila seorang anak yang berusia 3 tahun mati kerana tergilis kereta ibunya. Bukan sekali dua kisah seperti ini terjadi...dapat saya bayangkan perasaan ibu itu apabila anak yang dikandung,dilahirkan dan dibesarkan akhirnya mati di tangannya sendiri. Gerangan apakah ujian itu ya Allah...?
Saya sendiri tika berhadapan dengan kematian arwah Shakira pada hampir 16 tahun yang lalu hingga kini kadangkala masih terasa ngilunya.....malam terakhir...saya dan hubby bergilir-gilir menjaga Shakira. Sehari sebelum itu sebenarnya semua yang ada dalam perutnya sudah habis keluar. Badannya amat panas dan sehingga kini masih terasa bahang kepanansannya.Malam terakhir itu mata saya amat mengantuk.Walhal sebelum ini saya boleh berjaga hingga ke pagi.Hubby beberapa kali mengejutkan saya.Katanya keadaan anak kami pelik dan ada tanda-tanda akan pergi. Saya menidakkan. Pagi...sebelum pergi mengajar saya mencium pipinya.Pagi itu Shakira merenung dan menatap wajah saya dengan pandangan yang sungguh dalam.Sebelum ini tidak pernah.Saya berpesan menyuruhnya menunggu kepulangan saya tengah hari nanti.
Di sekolah,masa pertama saya ada kelas Sejarah ting,2. Saya tidak ada mood untuk mengajar. Buat pertama kali saya bercerita kepada murid-murid."Hari ini cikgu amat sedih. Anakcikgu di rumah sedang sakit tenat.Maaf..cikgu tak dapat mengajar hari ini..". Saya berkisah tentang anak saya dari A sampai Z. MUrid-murid perempuan menangis tersedu-sedu manakalamurid lelaki tunduk hiba. Yang peliknya saya hanya sebak tidak menangis. Selepas itu saya ke kantin untuk sarapan. Belum sempat menjamah sarapan...kerani sekolah berlari-lari memberitahu ibu saya menelefon dari rumah.
Kawan-kawan menghantar saya pulang. Tika itu keluarga ayah menetap di Seberang Takir. Jalan ke airport masih dalampembinaan. Aduhhh..lambat sungguh rasanya kereta bergerak. Kawan-kawan menenangkan saya. Hati saya berdebar-debar tapi saya masih tenang.Sebaik tiba di muka pintu saya melihat jiran kami sedang menutupi jenazah Shakira. Tanpa sedar,,sedangkan saya sedang mengandungkan Syakila 8 bulan..saya berlari mendapatkannya. Saya memeluknya yang telah kaku dan menangis sesungguh hati.Hubby memeluk saya dari belakang dan memujuk saya. Itulahkali pertama dalam usia perkahwinan kami saya melihat suami saya menangis tersedu-sedu.
Suami saya sempat memangku Shakira ketika nazak. Katanya"kalau Ira nak pergi pergilah...tak payah tunggu ibu...ayah dah puas hati melihat ibu jaga Ira...pergilah sayang ayah akan sampaikan salam pada ibu". Selepas itu perlahan-lahan Shakira menutup mata dan menarik nafas terakhir. Patutlah tika sampai badannya masih panas dan kelopak matanya sedikit terbuka. Agaknya dia penat menunggu saya sampai. Bertahun-tahun saya menjaganya tetapi saya tak dapat menatap renungan terakhirnya.
Sedangkan saya yang telah menjangka dia akan pergi mengambil masa dua tahun untuk menerima kenyataan.Setiap dinihari saya akan terjaga dan menangis. Bayangkanlah seorang ibu yang secara tidak sengaja menyebabkan kematian anak sendiri.......tentulah menjadi igauan sepanjang hayat.Pada hari kematiannya ramai sungguh yang datang menziarah...seakan-akan ada majlis kenduri kawin. Saya bersyukur....ramai yang sedekahkan alfatihah dan doa buat permata hati saya. Semoga Kiera damai di sana dalam syurga al Jannah.Ibu tetap menyayangimu anakku....amin.

Saturday, June 6, 2009

Meningitis

Baru-baru ni apabila Melaka heboh dengan penyakit meningitis ia menggamit kembali memori pilu dalam hidup saya. Puteri sulung saya arwah Wan Shakira diserang meningitis tika berusia 3 bulan..rasa gelap dunia ini...apalagi dia adalah cahaya mata pertama saya. Demamnya panas sungguh....hingga di suatu subuh dia koma. Bermulalah episod airmata dalam hidup saya. Dia dibedah di wad neurologi HKL.Tika itu tahun 1988.Perutnya ditebuk untuk dimasukkan wayar terus ke kepala untuk menggantikan salah satu urat yg tekah blok.Jika tidak kepalanya akan membesar. Oh Tuhan..jika tak kuat sudah lama saya kalah. Untuk berulang alik ke KL saya dan hubby menjual kereta kami. Tika itu kami benar-benar tidak mampu.Sewaktu dia berusia 2 tahun tahulah saya bahawa dia seorang anak yang lumpuh,tidak boleh bercakap dan tidak boleh makan sesuatu yang agak keras.Saya terima dengan reda. Saya tak pernah menyoroknya di rumah. Saya bawa dia ke pantai,berkelah di Sekayu,membeli-belah dan ke mana sahaja. Dalam situasi ini ayah dan ibu saya banyak membantu begitu juga dengan adik saya Anita. Tanpa pertolongan mereka saya tak mampu .......

1993,setelah sebulan di HSNZ kerana demam dan tidak lalu makan..Shakira saya bawa pulang. 10 hari di rumah..akhirnya dia menghembuskan nafas terakhirnya pada 10.10.1993.Allah meminjamkannya kepada saya hampir 6 tahun. Saya bersyukur. Saya tidak pernah mengabaikan dia bahkan kasih saya padanya tetap subur hingga ke saat ini. Kini 3 orang adik2nya mengisi kekosongan ini...Faris,Syakila dan Haikal.Mereka tidak sempat kenal dan bermesra dengan kakak mereka. Saya abadikan namanya ZIE_KIERA. Alhamdulillah...sya tahu dia akan menunggu ayah dan ibunya di sana...Amin.

Monday, June 1, 2009

Stadium Baru Runtuh

Baru kejap hubby call beritahu stadium baru yg jadi kemegahan rakyat terengganu tiba-tiba saja runtuh..kebetulan hubby nak ke majlis kenduri rumah kawan...banyak kenderaan yang menyibukkan suasana..ambulans dan bomba turut memenuhi laluan...Semoga tidak ada yang mendapat musibah ?
Pelik juga ye...benda baru tapi dah runtuh..di mana silapnya ? Begitulah juga dengan kehidupan ini....kadangkala baru saja kahwin tetapi dan berantakan dan putus di pertengahan...saling menuding jari...saling mencari kesilapan ....kenapa ye ?
Paling ironi...setelah puluhan tahun menempuh suka duka akhirnya terpaksa sendirian menjalani hari tua.....

Rumah Baru

Akhirnya anak bujang saya buat juga rumah yang tak seberapa ni....kelakar betul....maklumlah saya ni buta kayu...anak bujang saya ala-ala buta celik gitu...So..buat semua terutama kawan2 yang selama ini tempat saya menumpang...silalah berkunjung kat pondok2 saya ni...manjlara,salbie,nik yg sering bertanyakan rumah saya ni...haaa..inilah rumah alias pondok2 kak zie.
Semoga di Laman Kenangan ini dapat kita berbicara,bergurau senda dan bertukar-tukar pendapat untuk memntapkan lagi jati diri kita sebagai seorang wanita. Pembuka bicara hari ini....buat baik berpada-pada buat bodoh jangan sekali.....